Rabu, 24 September 2008

KERTAS 1 - KARANGAN

anak didik kesayangan SMART Gemilang
harapan ayah, ibu, guru, bangsa, agama, dan negara
PENULISAN KARANGAN YANG BERKESAN

Untuk menulis, pelajar mestilah mempunyai strategi tertentu yang dapat menarik perhatian pemeriksa. Lima strategi tersebut ialah :
i. memilih soalan yang tepat
ii. mengenal pasti kata kunci soalan
iii. menyediakan rangka karangan
iv. menulis karangan
v. menyemak karangan

MEMILIH SOALAN YANG TEPAT

Para pelajar perlu membaca kesemua soalan yang dikemukakan sambil menggarisi setiap kata kunci dalam soalan. Pilih soalan yang paling sesuai dengan pengetahuan anda untuk menjawabnya.

MENGENAL PASTI KATA KUNCI SOALAN

Para pelajar perlu memahami setiap kata kunci yang terdapat dalam soalan peperiksaan. Setiap soalan peperiksaan mempunyai tiga perkara utama yang perlu dikesan oleh pelajar. Tiga perkara itu ialah TEMA (T), SKOP (S) dan FORMAT (F). Baca dan garisi ayat yang mengandungi tiga kata kunci tersebut.

Contoh soalan:

Sejak akhir-akhir ini, program televisyen realiti telah mendapat tempat dalam hati masyarakat. Program seperti ini mendatangkan pelbagai impak negatif kepada penonton.

Bincangkan kesan buruk program tersebut dalam kalangan masyarakat.

TEMA : persoalan yang dibincangkan – program televisyen realiti
SKOP : kehendak soalan – kesan buruk kepada masyarakat
FORMAT : jenis karangan – perbincangan/pendapat

MERANGKA PENULISAN KARANGAN

Setelah mengenalpasti tema, skop, dan format pelajar perlu mula merangka untuk menulis karangan. Sama seperti manusia, karangan juga mempunyai anatomi yang terdiri daripada kepala, tubuh, dan kaki. Setiap bahagian perlu mempunyai lima perkara yang sekata.

Perenggan pendahuluan

Bahagian kepala sama maksud dengan perenggan pendahuluan. Perednggan ini melibatkan tema dan isu semasa. Jangan masukkan apa-apa contoh dalam perenggan ini. Ayat akhir dalam perenggan ini sebaiknya menggunakan ayat tanya yang merujuk kepada skop soalan. Perenggan pendahuluan hendaklah mempunyai lima perkara yang ditulis dalam satu perenggan:

i. ayat tema : merujuk kepada tema karangan
ii. isu semasa :
iii. huraian isu :
iv. pendapat :
v. pendirian penulis : merujuk kepada skop soalan

Contoh:

(Tema)Komuniti hari ini sering digembar-gemburkan dengan pelbagai rancangan televisyen realiti. (Isu semasa) Rancangan televisyen realiti kini semakin mendapat tempat dalam hati populasi di negara ini. (Huraian isu) Tambahan pula , setiap rumah di negara ini sekurang-kurangnya mempunyai sebuah televisyen. Hal ini memudahkan penerbit untuk menerbitkan pelbagai rancangan televisyen realiti. Oleh sebab itu, pertambahan rancangan televisyen realiti semakin meningkat dari semasa ke semasa. Antara rancangan televisyen realiti yang sering dipaparkan melalui skrin televisyen sekarang termasuklah `Akademi Fantasia’, `Mentor’, `One In A Milion’ dan banyak lagi. (Pendapat) Penerbit rancangan-rancangan tersebut berpendapat bahawa dengan penerbitan rancangan tersebut dapat menyediakan ruang bagi mencungkil bakat-bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan melalui mekanisma yang betul. Walhal, mereka mengaut keuntungan yang besar daripada penonton dengan mengadakan undian melalui sistem pesanan ringkas. Hal ini dapat diibaratkan seperti pepatah Melayu ”sambil menyelam minum air”. (Skop soalan)Persoalannya apakah kesan-kesan rancangan televisyen realiti kepada komuniti di negara kita?

Selangkan sebaris untuk menulis perenggan berikutnya iaitu perenggan isi.
Perenggan isi

Seterusnya ialah bahagian tubuh karangan atau juga dikenali sebagai perenggan isi karangan. Perenggan isi karangan juga mestilah dibina secara sekata bagi setiap perenggan. Penulisan isi karangan yang baik mesti mempunyai empat unsur/perkara. Unsur-unsur tertsebut terdiri daripada:

i. ayat fokus : isi utama
ii. ayat huraian : 5W1H (MASB2D)
iii. Ayat contoh : relevan dan terkini
iv. Ayat simpul : kesimpulan perenggan

Ayat fokus mestilah dimulakan dengan pernyataan isi dalam satu ayat sahaja. Gunakan ayat penyata yang jelas dan berwibawa. Ini diikuti dengan ayat huraian daripada penyataan isi. Gunakan teknik penyoalan 5W1H. Jumlah ayat huraian tidak terhad tetapi bergantung pada kemampuan pelajar. Seterusnya, pelajar perlu mengemukakan contoh atau bukti bagi menyokong huraian di atas. Contoh / bukti yang diberikan mestilah relevan dan terkini. Gunakan sumber rujukan daripada majalah atau akhbar harian. Setiap isi karangan mesti diakhiri dengan ayat kesimpulan.

Perenggan isi mesti terdiri sekurang-kurangnya lima isi yang ditulis dalam lima perenggan. Setiap perenggan mesti diselangkan dengan satu baris. Jangan dicampuradukkan beberapa isi dalam dalam satu perenggan.

Contoh:
(Ayat fokus) Rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat di negara kita. (Ayat huraian) Rancangan televisyen realiti ini menyebabkan berlakunya pembaziran sama ada masa atau wang. Rancangan ini melalaikan para penonton. Hal ini kerana penonton yang menggemari rancangan ini akan setia menanti di hadapan televisyen untuk menonton rancangan tersebut. (Ayat contoh) Selain itu, mereka sanggup juga membatalkan janji temu mereka dengan sahabat handai semata-mata ingin menonton rancangan tersebut yang tidak membawa keuntungan kepada penonton. Para pelajar turut membuang masa dengan menonton rancangan tersebut dan menggadaikan masa ulang kaji mereka. Sehubungan dengan itu, rancangan televisyen realiti ini juga membazirkan wang para penontonnya. Hal ini kerana para penonton akan mengundi artis pilihan mereka. Walaupun satu undian hanya bernilai RM1, tetapi para penonton perlu menghantar undian mereka beberapa kali untuk memastikan artis yang diminati mereka berjaya. (Ayat simpul) Jelaslah di sini bahawa rancangan televisyen realiti ini membazirkan masa dan wang.

Perenggan penutup

Akhir sekali, sesebuah karangan perlu mempunyai kaki supaya boleh berdiri kukuh. Perenggan penutup ini tidak boleh diabaikan oleh pelajar kerana berperanan sebagai pelengkap sesebuah karangan. Unsur yang perlu ada dalam perenggan ini ialah:

i. ayat kesimpulan
ii. ayat cadangan
iii. ayat harapan
iv. ayat penegasan

Ayat pertama yang ditulis merumuskan keseluruhan isi yang telah dibincangkan. Jangan masukkan isi baru dalam perenggan ini. Rumusan secara umum keseluruhan isi sudah memadai untuk menyimpulkan karangan. Kemudian, nyatakan cadangan dan harapan anda terhadap isu yang telah dibincang. Sebagai penutup ayat karangan anda, pelajar digalakkan menegaskan pendirian terhadap keseluruhan isi karangan.

Contoh:

(Ayat kesimpulan) Kesimpulannya, rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai kesan dan dapat memudaratkan masyarakat di negara kita. (Cadangan) Bagi penerbit yang ingin menerbitkan rancangan televisyen realiti ini haruslah semata-mata unutk mencungkil bakat baru dalam kalangan masyarakat di negara kita. Pihak penerbit tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada rancangan yang diterbitkan. Selain itu, pihak penerbit perlu juga mengurangkan undian melalui sistem pesanan ringkas. Peserta-peserta haruslah dinilai berdasarkan bakat yang terpendam dalam diri mereka bukan kerana kecantikan rupa paras semata-mata. Rancangan televisyen realiti haruslah dikurangkan. Ini penting untuk mengelakkan pertambahan masalah sosial dalam kalangan remaja di negara kita. Pihak penerbit haruslah menggantikan rancangan televisyen realiti dengan rancangan-rancangan ilmiah yang lebih memberikan keuntungan sama ada kepada penerbit ataupun penonton. (Harapan) Dengan ini, masyarakat yang berilmu dapat dilahirkan di negara kita. (Penegasan) Saya yakin andainya cadangan ini dapat dilaksanakan sudah pasti akan dapat meningkatkan imej dan karier masyarakat di negara ini walaupun sebagai seniman dan seniwati dalam bidang seni nyanyian dan lakonan.

MENULIS KARANGAN

i. Karangan yang ditulis mestilah mepunyai TUJUH perenggan yang terdiri
daripada Pendahuluan (1 perenggan), Isi (5 perenggan) dan Penutup (1 perenggan)
ii. Setiap perenggan terdiri daripada 12 baris yang sekata. Pastikan karangan berselang sebaris antara perenggan.
iii. Isi utama merupakan ayat pertama dalam karangan.
iv. Ayat huraian menggunakan teknik 5W1H (MASB2D)
v. Setiap isi perlu ada kesimpulan.
vi. Ungkapan menarik berupa peribahasa, cogan kata, kata-kata hikmat tokoh, pantun, dan seumpamanya mesti diselitkan dalam setiap perenggan.
vii. Gunakan kosakata yang luas seperti anjakan paradigma, kedangkalan ilmu dan seumpamanya.
viii. Susun isi mengikut kepentingan, contohnya diri – keluarga – negara –global.
ix. Setiap ayat yang ditulis mestilah mempunyai subjek dan predikat dengan jelas. Ayat mesti betul.
x. Kertas karangan mesti bersih, kemas dan mudah dibaca.
Setelah menulis karangan, pelajar perlu menyemak karangan yang telah siap. Pastikan ejaan, tanda baca, penanda wacana dan struktur ayat telah ditulis dengan betul. Kesalahan-kesalahan yang dilakukan akan menyebabkan pemotongan markah.

TIP-TIP LAIN

i. Pelajar MESTI membaca akhbar setiap hari. Luangkan masa sekurang-kurangnya 15 minit sebelum P&P dengan membaca isu semasa.
ii. Guru menggunakan akhbar untuk membina karangan di samping sebagai bahan rujukan.
iii. Latihan menulis karangan perlu dilakukan pada setiap hari dalam tempoh yang ditetapkan.
iv. Gunakan kertas berformat kertas jawapan LPM untuk latihan (boleh difotokopi). Ini untuk membiasakan pelajar dengan kertas peperiksaan sebenar.
v. Semua pelajar menggunakan pena yang sama jenis semasa peperiksaan.
vi. Pelajar boleh menyalin karangan contoh sekurang-kurangnya seminggu sekali.
vii. Sebulan sekali perlu diadakan ujian masa menulis karangan. Patuhi masa peperiksaan sebenar.

Sabtu, 13 September 2008

CITA-CITA


(khas untuk anak didik yang belum punya cita-cita dan juga yang banyak cita-cita tetapi belum ada pilihan yang jitu)

JADILAH SIAPA SAJA

Jadilah pelaut kautahu lautan hidup bergelombang
Jadilah petani kaukenali keringat sawah ladang
Jadilah pengayuh beca kaurasai roda lelah seharian
Jadilah pemandu teksi begitu perit memperoleh sesuap nasi
Jadilah penukang pengukir belum pasti makmur memahat diri
Jadilah penoreh getah perhatikan derita susunya di musim hujan
Jadilah pemanjat kelapa keamanan melambai keadilan.

Jadi pemuzik jadi penggubah jadi penyanyi
Jadi penulis lirik akan tercantum lagu dunia seni
Jadi pengarah jadi pelakon jadi pelawak tahu harga diri
Jadi pelukis karyamu lama tidak terhakis siang malam
Jadi pereka bentuk segalanya melakar manis masam
Jadi penulis bergelar sasterawan tahu merakam adab
Jadi pencatat zaman semua seniman berfikir hebat

Jadi pelajar kau belajar, sebagai pengajar jangan kurang ajar
Jadi pendidik tugasan guru di tanganmu lahir pemimpin besar
Jadi pelatih jangan tahu maki herdik oleh letih lesu nafsu marah
Jadi pensyarah tahu kaedah sedar insaf akan ilmu yang parah
Jadi perancang di situ berfikir selok-belok gerak ekonomi rakyat
Jadi peguam fasih tutur lidahmu kelak kebenaran hukum terletak
Jadi komander kau kawal pesawat para penumpang terselamat

Jadilah siapa saja ikut keupayaan kebolehan diri
Jadi pemimpin tanggungjawab membangun pertiwi
Jadi engkaulah penjaga bangsa agar tidak terumbang ambing
Jadi engkaulah pengawas warga agar tahu mentafsir musim
Jadi perdana menteri tahu berperi sedia berani mati
Jadi permaisuri di sisi hikmah ceria raja selalu bestari
Jadi pemaaf seumpama pendakwah terlihat amal makruf
Jadi pendorong jauhi nahi mungkar jasa bakti diselangi takruf
Jadilah kita semua pekerja tahu hidup sebelum mati
Jadikan kematian itu sanya pedoman kembara diri
Jadi satu cangkir yang setiap kata akan menghirupnya
Jadi batas dunia dan barzakh di hisab dosa pahala!
- Ab Aziz Deraman


Rabu, 10 September 2008

SPM dah dekat 4...



TIP DAN PANDUAN MENJAWAB SOALAN
BAHASA MELAYU KERTAS 1103/2 SPM

RUMUSAN

· Baca arahan dan garisi kata kunci/kehendak soalan.
-Fokus 1 dalam arahan soalan – pendahuluan dan isi tersurat
-Fokus 2 dalam arahan soalan – isi tersirat
· Cara menulis pendahuluan – mulakan dengan petikan menerangkan/membincangkan – idea keseluruhan daripada petikan (fokus 1 dalam arahan soalan: punca/kesan (positif atau negatif)/ langkah/ peranan/ ciri/ kekangan,
· Pelajar mengenal pasti isi tersurat berdasarkan fokus pertama arahan soalan
· Cara menulis isi tersurat:- kenal pasti isi penting (garisi) mengikut kehendak soalan (punca/ kesan/ langkah/ peranan, dsb.).
· Pelajar mesti menambah/ menggugurkan/ menggantikan perkataan atau rangkai kata tertentu dalam ayat supaya tidak dianggap menyalin ayat secara bulat-bulat.
· Pastikan pelajar mengenal pasti isi tersirat berdasarkan fokus kedua arahan soalan
· Isi tersirat tiada dalam petikan. Pelajar perlu mengenal pasti sendiri berasaskan pengetahuan sedia ada/ KBKK)
· Cara menulis kesimpulan: Kesimpulannya, (isu) mesti (cadangan)
supaya (harapan)

Pelajar mesti mengira jumlah perkataan dan jangan melebihi 120 patah perkataan.Jumlah perkataan mesti ditulis di bawah jawapan pada sudut sebelah kanan.
Jawapan mesti ditulis dalam empat perenggan.


PEMAHAMAN

2(a) Petikan Umum

(Soalan petikan umum berdasarkan petikan Rumusan)
Pelajar mesti jelas tentang maksud rangkai kata berdasarkan teks
Pelajar mesti pelbagaikan kategori jawapan bagi soalan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK)
Pastikan pelajar menulis jawapan berpandukan jumlah markah bagi setiap soalan.
Jawapan bagi soalan KBKK perlu dihuraikan (…supaya…) bagi soalan bagaimana/ cara dan mengapa.
Pastikan satu isi ditulis dalam satu ayat sahaja dan ayat perlu lengkap.


2(b) Petikan Cerpen/Drama

Pelajar mesti jelas tentang maksud rangkai kata berdasarkan teks
Pelajar mesti jelas tentang maksud soalan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK).
Pelajar mesti memberi contoh yang tepat berdasarkan petikan/ teks (Komsas).
Semua cerpen dan drama Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 perlu dibaca dan diulang kaji.
Pastikan pelajar menulis jawapan berpandukan jumlah markah bagi setiap soalan.
Jawapan bagi soalan KBKK perlu dihuraikan ( …supaya…) bagi soalan bagaimana/ cara dan mengapa
Jawapan bagi soalan Komsas:
-tema > perlu ada huraian/ contoh
-persoalan > perlu ada huraian/ contoh
-perwatakan > perlu ada contoh
-latar > perlu ada contoh
-nilai > perlu ada contoh
-pengajaran > perlu ada huraian/
contoh
Pastikan satu isi ditulis dalam satu ayat sahaja.
Pastikan satu contoh ditulis dalam satu ayat sahaja.

2(c) Petikan Prosa Klasik

Terdapat 3 pecahan soalan iaitu 2 soalan pemahaman teks dan satu soalan KBKK
Pelajar mesti jelas tentang maksud rangkai kata berdasarkan teks
Pelajar mesti jelas tentang maksud soalan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK) dan pelbagaikan kategori jawapan.
Pastikan pelajar menulis jawapan berpandukan jumlah markah bagi setiap soalan.
Jawapan bagi soalan KBKK perlu dihuraikan ( …supaya…) bagi soalan bagaimana/ cara dan mengapa.
Pastikan satu isi ditulis dalam satu ayat sahaja.
Semua cerita klasik Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 perlu dibaca dan diulang kaji.
Pelajar harus menjawab menggunakan ayat bahasa Melayu baku.


2(d) Petikan Puisi

Pelajar mesti jelas tentang maksud rangkai kata berdasarkan teks.
Pelajar mesti jelas tentang maksud soalan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK) dan pelbagaikan kategori jawapan
Pelajar mesti jelas tentang maksud soalan pemahaman Komponen Sastera (Komsas).
Semua puisi tradisional dan puisi moden Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 perlu dibaca dan diulang kaji.
Pastikan pelajar menulis jawapan berpandukan jumlah markah bagi setiap soalan
Jawapan bagi soalan KBKK perlu dihuraikan ( …supaya…) bagi soalan bagaimana/ cara dan mengapa.
Jawapan bagi soalan Komsas:
-tema -> perlu ada huraian/contoh
-persoalan -> perlu ada huraian/contoh
-perwatakan -> perlu ada contoh
-latar -> perlu ada contoh
-nilai -> perlu ada contoh
-pengajaran -> perlu ada huraian/contoh
Pastikan satu isi ditulis dalam satu ayat sahaja.
Pastikan satu contoh ditulis dalam satu ayat sahaja.


SOALAN 3:
PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN BAHASA

3 (a)Membina ayat

Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan digunakan sebagai rujukan utama.
P & P peringkat awal didahului dengan membincangkan maksud perkataan yang diuji.
Tidak perlu membina ayat yang meleret atau terlalu panjang (memadai 7 – 12 perkataan sahaja).
Melatih pelajar membina 2 ayat bagi perkataan berpasangan.
Perbanyak latihan menggunakan perkataan yang agak sukar dan agak mengelirukan.
Pembetulan segera (lisan / perbincangan di dalam kelas) terutama berkaitan dengan kesalahan ejaan dan struktur ayat supaya tidak berulang.
Pendedahan perkataan-perkataan melalui pengajaran, pertandingan silang kata, carta perbendaharaan kata, dan sebagainya.
Rencamkan latihan membina ayat di dalam kelas.
Kenal pasti jenis penggolongan kata bagi kata dasar.
Kenal pasti cara membina ayat dengan menggunakan kata kerja pasif (menggunakan ganti nama diri pertama atau kedua).
Kenal pasti cara membina ayat dalam bentuk cakap ajuk/ ayat perintah (suruhan: Tolong…, Sila...,/ larangan: Jangan…)
Soalan bahagian ini merangkumi ;
- Kata dasar dan kata terbitan
- Kata banyak makna
- Kata yang hampir sama makna
- Kata nama
- Kata kerja
- Kata adjektif
- Kata ganda
- Kata tugas
- Kata terbitan/pasangan kata terbitan
- Pasangan kata homograf
- Pasangan kata dasar dan kata ganda seluruh
- Pasangan kata ganda dan kata majmuk
- Pasangan kata dasar dan kata ganda berimbuhan
- Pasangan kata ganda seluruh dan kata terbitan
- Pasangan kata dasar dan kata majmuk
- Pasangan kata homofon
- Kata pinjaman bahasa Melayu
- Kata tunggal
- Kata terbitan
- Kata majmuk
-

3 (b)Menggabung ayat

Melatih pelajar menggabungkan ayat-ayat mengikut jumlah dalam arahan soalan.
Melatih pelajar mengenal pasti kelompok idea dalam petikan.
Mendedahkan kaedah penulisan dan contoh penggunaan kata hubung yang sesuai, penanda wacana dan tanda bacaan untuk menggabungkan ayat-ayat.
Menggunakan sistem nombor (i., ii., iii., dsb.)
Jangan tinggalkan isi penting.


Cakap ajuk cakap pindah

Membimbing pelajar menggunakan pelbagai penyataan perasaan dan ragam ayat ketika menukarkan cakap ajuk kepada cakap pindah (contohnya; menerangkan, menjelaskan, ingin tahu).
Guru mesti menekankan penggunaan ganti nama diri ketiga saja dalam cakap pindah
Struktur frasa kerja pasif diri ketiga perlu difahami oleh pelajar.
Melatih pelajar menukarkan perbualan kepada laporan.
Menjelaskan kepada pelajar perbezaan antara cakap pindah dengan laporan.
Memastikan pelajar menggunakan teknik dialog/ temu bual ketika menukarkan cakap pindah kepada cakap ajuk.
Guru mesti menekankan penggunaan ganti nama diri pertama dan kedua sahaja dalam cakap ajuk.
Struktur frasa kerja pasif diri pertama dan kedua perlu difahami oleh pelajar.
Kenal pasti jumlah isi dalam petikan
Pastikan isi ditulis mengikut urutan.
Ayat yang ditulis mesti gramatis.


Ayat susunan biasa/ ayat songsang

· Ayat susunan biasa ialah ayat yang subjeknya didahulukan daripada predikat
· Ayat songsang ialah ayat yang predikat atau sebahagian daripada unsur predikat dikedepankan.


Ayat aktif / ayat pasif

· Ayat aktif ialah ayat yang meletakkan subjek atau pelakunya pada awal ayat.
· Penanda bagi ayat aktif ialah kata kerja yang menerima imbuhan meN...., meN....i,dan meN....kan.
· Ayat pasif ialah ayat yang objek hadir pada permulaan ayat.
· Penanda bagi ayat pasif ialah kata kerja yang menerima imbuhan di...., di...i, di...kan,ter....,ber..., dan ke...an.
· Bagi ayat pasif, Kata Ganti Nama Diri I dan II hadir di hadapan kata kerja.

3 (c) dan 3 (d) Mengesan kesalahan dalam ayat

- kesalahan ejaan dan imbuhan
- kesalahan kata, istilah, dan kesalahan tatabahasa

Mendedahkan pelbagai kesalahan tatabahasa yang biasa dilakukan oleh pelajar dan masyarakat dalam perbualan sehari-hari.
Pelajar mesti jelas dan faham tentang punca kesalahan ejaan atau struktur ayat yang berkenaan.
Jika tidak, umumnya kesalahan yang sama akan berulang.
Markah yang diperuntukkan boleh dijadikan panduan mengenal pasti bilangan kesalahan.
Guru dan pelajar menggunakan Tatabahasa Dewan sebagai rujukan asas berhubung dengan hukum tatabahasa.
Markah yang diperuntukkan boleh dijadikan panduan mengenal pasti bilangan kesalahan dalam ayat.
Pelajar mesti mempunyai nota tentang kesalahan biasa dalam tatabahasa, bahasa istana yang umum dan gelaran kebesaran / panggilan tokoh dalam masyarakat.


Memberi imbuhan

Mengenal pasti penggolongan kata dasar.
Mengetahui konsep awalan, akhiran dan apitan dan makna perkataan yang diimbuhkan.
Markah yang diperuntukkan boleh dijadikan panduan .
Mengenal pasti bilangan kata dasar yang terlibat dalam ayat.

Mengenal pasti perkataan tertinggal dalam ayat.
Mengenal pasti golongan perkataan.
Markah yang diperuntukkan boleh dijadikan panduan mengenal pasti bilangan perkataan yang perlu ditambah dalam ayat.

Menulis semula ujaran yang tidak gramatis
Kata singkatan seperti nak, ni, mau dan sebagainya mesti ditulis dalam bentuk bahasa Melayu yang lengkap.
Kata asing seperti lu, best dan sebagainya perlu ditukar dengan perkataan yang sesuai dalam bahasa Melayu baku.
Pastikan ayat yang digunakan sesuai sama ada ayat penyata biasa, ayat songsang, ayat pasif, ayat gabungan dan sebagainya mengikut struktur ujaran yang asal.

3 (e)Peribahasa

Pelajar perlu menguasai maksud peribahasa.
-(termasuk simpulan bahasa, perbidalan, perumpamaan, pepatah,bidalan,perbilangan dan kata hikmat.)
Pelajar perlu dilatih mengaplikasi penggunaan peribahasa dalam ayat yang gramatis.
Pelajar perlu didedahkan peribahasa yang ada dalam buku teks.
Pelajar perlu mempunyai nota/ latihan/ rujukan yang khusus untuk peribahasa.
Bentuk soalan yang dikemukakan lazimnya mementingkan penggunaan/aplikasi peribahasa iaitu:
- membina ayat berdasarkan peribahasa
- menyatakan maksud peribahasa
- Menyatakan peribahasa berdasarkan maksud
- Menyatakan peribahasa berdasarkan ayat
- Menyatakan peribahasa berdasarkan petikan ( situasi )
- Menyatakan peribahasa berdasarkan petikan perbualan
- Menyatakan peribahasa yang sama maksud
- Melengkapkan tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.

NOVEL

Pelajar mesti jelas tentang maksud soalan pemahaman Komponen Sastera (Komsas).
Novel Terminal Tiga (tingkatan empat) dan Seteguh Karang (tingkatan lima) perlu dibaca dan diulang kaji.
Pastikan pelajar menulis jawapan berpandukan jumlah markah bagi setiap soalan.
Jawapan bagi soalan Komsas:

-tema > perlu ada huraian/ contoh
-persoalan > perlu ada huraian/ contoh
-perwatakan > perlu ada contoh
-latar > perlu ada contoh
-nilai > perlu ada contoh
-pengajaran > perlu ada huraian/ contoh

Pastikan satu isi ditulis dalam satu ayat. Pastikan satu contoh ditulis dalam satu ayat sahaja.
Pelajar mesti memberi jawapan secara perbandingan dalam soalan perbandingan antara novel. (menggunakan perkataan/ rangkai kata yang menunjukkan perbandingan - Contoh : tetapi, juga, walau bagaimanapun, manakala, sebaliknya)


-sumber JUJ 2008

Selasa, 9 September 2008

PEPERIKSAAN PERCUBAAN SPM

Selamat Menduduki Peperiksaan Percubaan SPM kepada semua pelajar tingkatan 5. Serlahkan KECEMERLANGAN diri anda. Pelajar CEMERLANG SMART pasti GEMILANG.
-daripada Semua guru mata pelajaran Bahasa Melayu SMART 2008

SPM dah dekat 3...

Analisis Soalan Bahasa Melayu 1103/2 SPM
(Jun/Nov 2001 – 2007)

Soalan 1 : Rumusan [30 markah]
SPM (Nov.) ‘01
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang tanggungjawab penulis. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

SPM (Jun) ‘02
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang peranan Industri Kecil dan Sederhana dalam pembangunan ekonomi negara. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

SPM (Nov.) ‘02
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan kakitangan kerajaan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

SPM (Jun) ‘03
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah meningkatkan kesedaran moral masyarakat. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

SPM (Nov) ‘03
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang pentingnya pelabelan makanan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

SPM (Jun) ‘04
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang masalah yang dihadapi oleh sektor perubatan awam di Malaysia. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

SPM (Nov) ‘04
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik dan sebab-sebab penubuhannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

SPM (Jun) ‘05
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara menguruskan tekanan dan kepentingan pengurusan tekanan kepada individu. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

SPM (Nov) ‘05
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

SPM (Jun) ‘06
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan kerja berpasukan dan cara-cara pemimpin membentuk kerja berpasukan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

SPM (Nov) ‘06
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam masyarakat. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

SPM dah dekat 2...



CADANGAN PERUNTUKAN MASA UNTUK MENJAWAB BAHASA MELAYU 2



KERTAS 2 150 minit (2 jam 30 minit)


Soalan 1 : Rumusan teks 30 minit
Soalan 2 : Pemahaman 60 minit
Soalan 3 : Pengetahuan dan kemahiran tatabahasa 30 minit
Soalan 4 : Pemahaman novel 20 minit
Menyemak Jawapan 10 minit


Soalan 1 : Rumusan teks [30 markah] 30 minit


Membaca dan menganalisis soalan 3 minit
Membina pendahuluan 3 minit
Mengenal pasti /menanda isi tersurat 5 minit
Membina isi tersirat 5 minit
Membina kesimpulan 2 minit
Menulis rumusan 10 minit
Menyunting rumusan 2 minit


Soalan 2 : Pemahaman [35 markah] 60 minit


(i) Pemahaman Teks 2 markah 2a. 9 markah (ii) Pemahaman Teks 3 markah 15 minit (iii) Kem. Berfikir secara Kritis & Kreatif 4 markah


(i) Pemahaman Teks 3 markah
2b. 9 markah (ii) Kem. Berfikir secara Kritis & Kreatif 3 markah 15 minit (iii) Komsas 3 markah

(i) Pemahaman Teks 2 markah
2c. 8 markah (ii) Pemahaman Teks 2 markah 15 minit (iii) Kem. Berfikir secara Kritis & Kreatif 4 markah

(i) Pemahaman Teks 3 markah
2d. 9 markah (ii) Kem. Berfikir secara Kritis & Kreatif 3 markah 15 minit (iii) Komsas 3 markah

Soalan 3 : Tatabahasa [30 markah] 30 minit

3a. Morfologi 6 markah 6 minit
3b. Sintaksis 6 markah 6 minit
3c. Ejaan dan imbuhan 6 markah 6 minit
3d. Kata, istilah dan kesalahan tatabahasa 6 markah 6 minit
3e. Peribahasa 6 markah 6 minit


Soalan 4 : Genre Novel [15 markah] 20 minit


4a. Komsas/ KBKK 7 markah 10 minit

4b. Komsas/ KBKK 8 markah 10 minit

SPM dah dekat...

FORMAT KERTAS BAHASA MELAYU 2
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA

Kertas ini mengandungi empat soalan. Calon dikehendaki menjawab semua soalan. Masa yang diperuntukkan untuk menjawab soalan kertas ini ialah dua jam tiga puluh minit. Markah penuh ialah 110 markah.


Soalan 1 : Rumusan (30 markah)

· membuat rumusan berdasarkan petikan daripada bahan bacaan umum dalam pelbagai bidang tidak termasuk bentuk penulisan kreatif.
· panjang rumusan tidak melebihi 120 patah perkataan.
· calon dikehendaki menghasilkan rumusan yang mempunyai pendahuluan, isi tersurat, isi tersirat dan kesimpulan.

Soalan 2 : Pemahaman (35 markah)

· menguji kebolehan pelajar memahami dan menghayati pelbagai jenis bahan ilmiah dan sastera.
· terdiri daripada empat bahagian iaitu (a), (b), (c) dan (d)

· soalan 2(a) ialah soalan pemahaman berdasarkan petikan bagi Soalan 1 yang terdiri daripada pelbagai bidang ilmu selain bentuk penulisan kreatif.
· markah yang diperuntukkan ialah 9 markah - 3 soalan (2 pemahaman teks, 1 KBKK)

· soalan 2(b) ialah soalan pemahaman berdasarkan satu petikan genre prosa moden sama ada cerpen atau drama dalam Antologi `Anak Laut’ atau Antologi `Kerusi’.
· markah yang diperuntukkan ialah 9 markah - 3 soalan (1 pemahaman teks, 1 KBKK, 1 komponen sastera)

· soalan 2(c) ialah soalan pemahaman berdasarkan satu petikan genre prosa klasik dalam Antologi `Anak Laut’ atau Antologi `Kerusi’
· markah yang diperuntukkan ialah 8 markah - 3 soalan (2 pemahaman teks, 1 KBKK)

· soalan 2(d) ialah soalan pemahaman berdasarkan satu petikan puisi sama ada puisi moden atau tradisional dalam Antologi `Anak Laut’ atau Antologi `Kerusi’.
· markah yang diperuntukkan ialah 9 markah - 3 soalan (1 pemahaman teks, 1 KBKK, 1 komponen sastera)

Soalan 3 : Pengetahuan Bahasa dan Kemahiran Tatabahasa (30 markah)

· menguji kemahiran pelajar dalam sistem bahasa Melayu dari segi bentuk, makna dan fungsinya.
· terdiri daripada lima bahagian iaitu (a), (b), (c), (d) dan (e) meliputi pengujian dari segi membina ayat, menukarkan cakap ajuk kepada cakap pindah atau sebaliknya, menggabungkan ayat, menambahkan imbuhan dalam ayat, membetulkan kesalahan ayat, mengenal pasti peribahasa dan kemahiran tatabahasa yang lain.

Soalan 4 : Novel (15 markah)

· menguji kebolehan pelajar memahami dan menghayati genre novel
· terdiri daripada soalan 4(a) dan 4(b)
· soalan-soalan berdasarkan genre novel Komponen Kesusasteraan Melayu tingkatan empat dan tingkatan lima
· soalan bersifat umum dan perbandingan
· Jawapan hendaklah berdasarkan novel yang dipelajari

Isnin, 8 September 2008

BUKU, DI MANA PEMBACA?

DI MANA SILAPNYA

Sebagai guru perpustakaan, saya hairan mengapa perpustakaan sekolah saya begitu lengang. Hendak dikatakan tidak cukup buku, banyak buku! Buku fiksyen ada, buku rujukan ada. Hendak dikatakan suasana tidak menarik, menarik! Kerusi meja teratur, berlangsir malah berpenyaman udara.

“Di mana silapnya aku menguruskan perpustakaan. Saya menyoal diri sendiri?” Untuk mendapat maklumat lanjut saya bertanya rakan-rakan sejawatan dari sekolah lain.

“Sama saja. Sekolah aku pun serupa. Selalu lengang. Kalau adapun murid datang bersama guru. Kalau nak harap mereka datang buat penyelidikan sendiri seperti kita dulu hampir tidak ada. Selepas waktu sekolah lagilah pulak. Yang ada hanya pustakawan bertugas sahaja. Akupun tak tahu di mana silapnya.”

“Mungkin membaca bukan lagi satu hobi pelajar. Tidak seperti zaman kita dahulu. Kita dulu seronok kalau dapat buku dari perpustakaan.
Maklumlah hendak beli sendiri tidak mampu.”

“Mungkin juga. Mereka sekarang senang. Bukan setakat buku mak bapa boleh belikan, komputerpun boleh. Bermain komputer dan melayari internet lebih mengasyikkan.”

“Atau mungkin juga masa mereka terhad. Habis waktu sekolah hendak buat kerja rumah. Dalam pada itu kena pergi tuisyen pulak. Bagi pelajar dan ibu bapa sekarang kalau tidak pergi tuisyen, tidak sah. Hendak-hendak bagi anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan.”

“Cikgu-cikgu sekolah kau pula bagaimana?Rajin ke perpustakaan? Kut-kut boleh jadi ikutan pelajar

Kalau nak kata tak ada langsung tu bohonglah. Ada seorang berdua saja. Yang lain asyik dengan rutin harian biasa. Membuat persediaan mengajar dan memeriksa latihan pelajar. Itu saja sudah tidak cukup tangan. Aku dan kawan-kawan adalah usahakan membawa buku ke bilik guru. Mungkin mereka tidak ada masa naik ke perpustakaan. Adalah sedikit perubahan, daripada seorang berdua naik, naiklah empat lima orang.”

“Samalah kita. Apa hendak buat lagi, ya?”

“Kempen sudah. Pertandingan membaca dan bercerita sudah. Sambutan dingin. Apa lagi ya?”

“Sayang sekali peruntukan beribu ringgit tidak dimanfaatkan sewajarnya.”

“Ada masa aku segan sendiri. Aku gagal menarik pelajar dan guru menggunakan perpustakaan secara optimum.”

“Apapun kita tidak boleh give up. Agaknya kita kena terus berusaha dan berusaha. Kita tidak boleh menyerah kalah kerana bagi saya buku masih sebagai sumber ilmu penting”

Jumaat, 5 September 2008

ANEKDOT BAHASAKU

BAHASAKU OH! BAHASAKU

Bahasa Melayu sering diwar-warkan sebagai lingua-franca di nusantara. Seluruh kepulauan Melayu akar umbinya menggunakan bahasa Melayu. Akan tetapi sejauh manakah benarnya bahasa Melayu ini kelak menjadi antara bahasa dunia yang mempunyai jati diri. SN Abdullah Hussain pernah menulis mengenai nasib bahasa Melayu. Anekdot beliau ini wajar direnung sebagai membuka minda untuk memartabatkan bahasa kita.
Memang sudah suratan nasib bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling peramah sifatnya. Apa sahaja perkataan asing sesuai atau tidak diterimanya dengan senang hati dan perkataan sendiri yang semakna dengannya ditolak ke tepi. Bahasa Melayupun seperti orang Melayu juga, mudah mesra dan mudah meniru, mudah menyesuaikan dirinya dengan keadaan. Waktu seorang guru bahasa Arab mengajar Tun Mai Ulat Bulu, terjadilah pertengkaran kira-kira begini.

(Rujuk teks Sejarah Melayu versi W G Shellabear)

“ Anta ni syakap Arab pun tak boleh,” kata tuan guru itu.

“ Ana boleh cakap tapi ana malas. Ana boleh sebut lebih baik daripada ustaz.”

Lalu guru Arab itupun memilih beberapa perkataan Arab yang sukar dan menyuruh Tun Mai Ulat Bulu menyebutnya. Tun Mai Ulat Bulu dengan mudah menyebut perkataan-perkataan itu.

Kemudian untuk tidak mengaku kalah, Tun Mai Ulat Bulu mencabar guru Arab itu supaya menyebut perkataan-perkataan melayu pula.

“ Sekarang cuba ustaz sebut perkataan melayu pula.”

“Apa dia?”

“Kucing!”

“Kusying!”

“Salah. Kunyit!”

“ Kuzit!”

“Salah. Nyiru!”

“Niru.”

Khabarnya kerana kejadian itu, guru bahasa Arab itupun tidak mahu lagi mengajar Tun Mai Ulat Bulu. Tun Mai Ulat bulu boleh menyebut dengan baik, cuma dia malas sedikit.

Menurut ceritanya sejak itu semua orang Arab tidak mahu lagi mengajar orang Melayu membaca al Quran. Di sini timbul persoalan kepada cerdik pandai sejarah tentang siapa sebenarnya yang mengajar agama Islam kepada orang Melayu di Tanah Melayu ini.

SALAM BAHASA

GURINDAM HATI
Yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang cantik budi,
Yang indah bahasa.


Yang asyik puji,
Yang megah harta;
Yang dididik pekerti,
Yang dikerah tenaga


Yang ikhlas hati,
Yang jujur diri;
Yang benar peribadi,
Yang suci nurani.



Salam Bahasa kepada anda yang pertama kali melayari ruang ini.

Mengungkapkan bahasa yang jitu, tepat dan betul sering kali mencetuskan pertembungan antara nilai bahasa dan kepersisannya. Tidak kurang juga getusan rasa para cendekia yang bijak bicaranya. Semua ini menuntut ketabahan dan kesabaran dalam usaha mengupayakan sebuah laman. Laman ini seharusnya menjadi wahana bahasa kepada pendidik dan anak didiknya.
Laman ini tidak terisi dengan retorik dan jargon bahasa yang muluk-muluk semata-mata tetapi menjadi ruang fikir dan taman karya penggunanya. Semoga usaha yang sedikit ini setidak-tidaknya menyatakan bahasa Melayu itu hidup dan terus berkembang dalam menuju menjadi bahasa dunia.

Salam Bahasa.