Selasa, 24 Mac 2009

PESAN MUNSYI DBP - SEMENTELAHAN

1. Bolehkah kata sementelahan itu digunakan sebagai ganti kepada tambahan pula?
Drpd Kamus Dewan Edisi Ke-4 (KD4) m/s 1439, saya mendapati hanya perkataan
Sementelah dan sementelahan bermaksud tambahan pula.

Jadi sementelahan itu = tambahan pula itu. Salahlah kan??Ayat contoh dalam KD4 juga mempunyai sementelahan pula. Manalah betul?

2. Kerap kali juga saya lihat pelajar menggunakan penanda wacana sementelahan itu untuk maksud selain itu. Yang ini pun salah bukan? Jadi, apakah ayat contoh yang betul?


Jawaban:

1. Sementelahan bermaksud lebih-lebih lagi atau tambahan pula. Kita tidak perlu menambah kata ganti nama tunjuk itu supaya menjadi sementelahan itu. Kesilapan yang dilakukan oleh pengguna bahasa pada hari ini ialah mereka menggunakan perkataan sementelahan atau tambahan pula sebagai penanda wacana. Sebenarnya, sementelahan dan tambahan pula tergolong dalam kata tugas, iaitu kata hubung gabungan.

Ayat contohnya adalah seperti yang berikut:

1. Beliau tidak jadi mengikuti rombongan itu ke luar negara kerana mengalami sakit mata, sementelahan keadaan di luar negara kacau-bilau.

2.Beliau tidak jadi mengikuti rombongan itu ke luar negara kerana mengalami sakit mata, lebih—lebih lagi keadaan di luar negara kacau-bilau.

3. Beliau tidak jadi mengikuti rombongan itu ke luar negara kerana mengalami sakit mata, tambahan pula keadaan di luar negara kacau-bilau.

4.Kita mesti bertolak sekarang juga kerana hari semakin gelap, sementelahan tempat perkhemahan itu masih jauh lagi.

5.Kita mesti bertolak sekarang juga kerana hari semakin gelap, lebih-lebih lagi tempat perkhemahan itu masih jauh lagi.

6.Kita mesti bertolak sekarang juga kerana hari semakin gelap, tambahan pula tempat perkhemahan itu masih jauh lagi. Kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar dalam penulisan karangan ialah mereka menggunakan perkataan sementelahan atau tambahan pula sebagai penanda wacana seperti yang berikut:

7. *Tambahan pula, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.

8. *Sementelahan, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.Kesilapan yang paling teruk ialah kesalahan dari segi kelewahan bahasa seperti yang berikut:

9. Sementelahan pula, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.

Ayat ini akan menjadi lebih kacau apabila digantikan dengan tambahan pula. Lihat ayat tersebut di bawah ini:

10. Tambahan pula pula, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang. Hal ini terjadi demikian kerana sementelahan bermaksud tambahan pula. Jadi, ayat contoh yang terdapat dalam KD4 menggunakan rangkai kata sementelahan pula sebenarnya tidak tepat.
Inilah salah satu kelemahan Kamus Dewan yang memberikan ayat contoh yang tidak gramatis.

2. Ungkapan sementelahan itu tidak boleh menggantikan penanda wacana selain itu. Hal ini ini dikatakan demikian kerana sementelahan itu bukan penanda wacana. Jika kita memberikan maksud sementelahan sebagai lebih-lebih lagi atau tambahan pula, frasa yang wujud akan menjadi celaru seperti lebih-lebih lagi itu atau tambahan pula itu, penanda wacana selain itu sebenarnya berasal daripada frasa sendi nama selain perkara itu yang bermaksud perkara yang sama telah dibincangkan sebelum perkara itu.


-drp Cgu Ghalib:agy7500

Tiada ulasan: