Selasa, 24 Mac 2009
PESAN MUNSYI DBP - AKLITIK
Kau, ku, mu dan nya ialah kata ganti diri singkat (KGDS) atau dikenali juga sebagai klitik. Terdapat peraturan tertentu tentang penggunaan kata ganti tersebut.KGDS `kau’ digunakan hanya di awal kata. Kedudukannya pula mestilah rapat dengan kata kerja pasif yang mengikutinya. Kata ini tidak boleh bertugas sebagai subjek ayat.
Ayat contoh:
1a. Buku itu telah kaubaca.[/]
1b. Buku itu telah kau baca [x]
2a. Kau telah membaca buku itu. [x]
2b. Engkau telah membaca buku itu. [/]
KGDS `ku’ boleh digunakan di awal dan di akhir kata.Kata ini tidak boleh menjadi subjek ayat.
Ayat contoh:
1a. Segala masalah akan kuselesaikan.[/]
1b. Segala masalah akan ku selesaikan.[x]
2a. Terimalah pemberian daripada ayahku ini. [/]
2b. Terimalah pemberian daripada ayah ku ini. [x]
3a. Ku akan melawat ke Jepun. [x]
3a. Aku akan melawat ke Jepun. [/]
KGDS `mu’ digunakan di akhir kata sahaja. Kata ini tidak boleh dijadikan subjek ayat dan kata ini tidak boleh dijarakkan dengan kata sebelumnya. Kata ini hendaklah ditulis dengan huruf besar di pangkal kata itu serta dibubuh tanda sempang jika digunakan untuk mengganti nama Tuhan.
Ayat contoh:
1a. Saya akan meminta sahabatmu tunggu di sini. [/]
1b. Saya akan meminta sahabat mu tunggu di sini. [x].
2a.Terimalah doa daripada hambu-Mu yang kerdil ini.[/]
2a.Terimalah doa daripada hambamu yang kerdil ini. [x]
KGDS `nya’ digunakan di akhir kata sahaja.Kata ini tidak boleh bertugas sebagai subjek ayat. Kata ini hendaklah ditulis dengan huruf besar di pangkal kata itu serta dibubuh tanda sempang jika digunakan untuk mengganti nama Tuhan.
Ayat contoh:
1a. Dia memberitahunya tentang perkara itu.[/]
1b. Dia memberitahu nya tentang perkara itu. [x]
2a. Kita hendaklah berdoa kepada-Nya untuk memohon perlindungan. [/]
2b. Kita hendaklah berdoa kepadanya untuk memohon perlindungan.[x]
Akhir sekali, kesemua kata tersebut tidak boleh digandingkan supaya menjadi ianya, kukau, mukau, kumu, munya, nyamu, nyakau, dan sebagainya.
agy7500
PESAN MUNSYI DBP - SEMENTELAHAN
Drpd Kamus Dewan Edisi Ke-4 (KD4) m/s 1439, saya mendapati hanya perkataan
Sementelah dan sementelahan bermaksud tambahan pula.
Jadi sementelahan itu = tambahan pula itu. Salahlah kan??Ayat contoh dalam KD4 juga mempunyai sementelahan pula. Manalah betul?
2. Kerap kali juga saya lihat pelajar menggunakan penanda wacana sementelahan itu untuk maksud selain itu. Yang ini pun salah bukan? Jadi, apakah ayat contoh yang betul?
Jawaban:
1. Sementelahan bermaksud lebih-lebih lagi atau tambahan pula. Kita tidak perlu menambah kata ganti nama tunjuk itu supaya menjadi sementelahan itu. Kesilapan yang dilakukan oleh pengguna bahasa pada hari ini ialah mereka menggunakan perkataan sementelahan atau tambahan pula sebagai penanda wacana. Sebenarnya, sementelahan dan tambahan pula tergolong dalam kata tugas, iaitu kata hubung gabungan.
Ayat contohnya adalah seperti yang berikut:
1. Beliau tidak jadi mengikuti rombongan itu ke luar negara kerana mengalami sakit mata, sementelahan keadaan di luar negara kacau-bilau.
2.Beliau tidak jadi mengikuti rombongan itu ke luar negara kerana mengalami sakit mata, lebih—lebih lagi keadaan di luar negara kacau-bilau.
3. Beliau tidak jadi mengikuti rombongan itu ke luar negara kerana mengalami sakit mata, tambahan pula keadaan di luar negara kacau-bilau.
4.Kita mesti bertolak sekarang juga kerana hari semakin gelap, sementelahan tempat perkhemahan itu masih jauh lagi.
5.Kita mesti bertolak sekarang juga kerana hari semakin gelap, lebih-lebih lagi tempat perkhemahan itu masih jauh lagi.
6.Kita mesti bertolak sekarang juga kerana hari semakin gelap, tambahan pula tempat perkhemahan itu masih jauh lagi. Kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar dalam penulisan karangan ialah mereka menggunakan perkataan sementelahan atau tambahan pula sebagai penanda wacana seperti yang berikut:
7. *Tambahan pula, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.
8. *Sementelahan, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.Kesilapan yang paling teruk ialah kesalahan dari segi kelewahan bahasa seperti yang berikut:
9. Sementelahan pula, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.
Ayat ini akan menjadi lebih kacau apabila digantikan dengan tambahan pula. Lihat ayat tersebut di bawah ini:
10. Tambahan pula pula, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang. Hal ini terjadi demikian kerana sementelahan bermaksud tambahan pula. Jadi, ayat contoh yang terdapat dalam KD4 menggunakan rangkai kata sementelahan pula sebenarnya tidak tepat.
Inilah salah satu kelemahan Kamus Dewan yang memberikan ayat contoh yang tidak gramatis.
2. Ungkapan sementelahan itu tidak boleh menggantikan penanda wacana selain itu. Hal ini ini dikatakan demikian kerana sementelahan itu bukan penanda wacana. Jika kita memberikan maksud sementelahan sebagai lebih-lebih lagi atau tambahan pula, frasa yang wujud akan menjadi celaru seperti lebih-lebih lagi itu atau tambahan pula itu, penanda wacana selain itu sebenarnya berasal daripada frasa sendi nama selain perkara itu yang bermaksud perkara yang sama telah dibincangkan sebelum perkara itu.
-drp Cgu Ghalib:agy7500
Isnin, 16 Mac 2009
TATABAHASA - Ketaksaan
Sumber: Akhbar Sisipan Tutor
Sepotong ayat dapat menerbitkan beberapa maksud yang tertentu. Hal ini demikian bergantung pada lagu bahasa atau intonasi ayat itu diucapkan. Ayat yang dapat menghasilkan pelbagai maksud dikatakan ayat yang mempunyai unsur ketaksaan (ambiguity). Dengan kata lain, ketaksaan ditakrifkan sebagai sifat binaan atau konstruksi yang dapat diberi lebih daripada satu tafsiran.
Telitilah ayat yang berikut:
1. Ibu bapa Mustafa telah meninggal dunia.Ayat ini mengandungi unsur ketaksaan kerana dapat diertikan sebagai ibu kepada bapa (iaitu nenek) Mustafa telah meninggal dunia, atau kedua-dua ibu bapa Mustafa telah meninggal dunia.
Untuk dapat mengenal pasti perbezaan erti ini, kita perlu, secara intuisi, menyedari kewujudan dua jenis binaan ayat yang berbeza. Kita begitu mudah memahami maksud yang terkandung dalam ayat ini jika diucapkan dengan lagu bahasa (intonasi) yang berbeza bersesuaian dengan maksud yang hendak disampaikan.
Dalam ayat 1 di atas, jika kita meletakkan tekanan pada kata ibu, kemudian diikuti dengan jeda (hentian sebentar), pastilah ayat ini menyatakan bahawa ibu kepada bapa Mustafa (nenek Mustafa) telah meninggal dunia.Sebaliknya, jika tiada tekanan pada perkataan ibu dan tanpa jeda dalam mengucapkan ayat tersebut, maka maksud yang terkandung menyatakan bahawa kedua-dua ibu bapa Mustafa yang meninggal dunia, bukan neneknya.
Jelas bahawa dalam ujaran, intonasi dan jeda memainkan peranan sebagai penentu kepada maksud yang didukung oleh sesuatu ayat. Dalam bentuk tulisan, hal ini dapat dijelaskan dengan penggunaan tanda baca untuk menentukan ketaksaan ayat berkenaan. Marilah kita teliti ketaksaan ayat-ayat yang berikut ini:
2. Orang itu dibunuh jangan dibebaskan.
3. Saya makan nasi ayam.
4. Beri saya rantai beruk.
5. Saya makan roti John di bawah pokok.
Ada dua maksud yang tersirat dalam ayat 2.
Pertama, orang itu jangan dibunuh, tetapi hendaklah dibebaskan. Maksud yang pertama ini dapat ditentukan dengan membubuh tanda koma bertitik (;) selepas perkataan jangan, menghasilkan ayat pasif Orang itu jangan dibunuh; dibebaskan. Koma bertitik wajar diletakkan di situ sebagai pemisah klausa/ayat yang dimulai dengan kata hubung “tetapi”. Koma bertitik itu juga meletakkan jeda berada di situ. Ayat asalnya ialah Orang itu jangan dibunuh tetapi (orang itu) dibebaskan, dengan frasa nama kedua orang itu digugurkan dalam klausa/ayat kedua kerana frasa nama ini merupakan frasa nama yang sama dalam klausa/ayat yang pertama.Maksud yang kedua ayat kedua ini ialah bahawa orang itu dibunuh, dan jangan dibebaskan. Maksud ini ditentukan apabila tanda baca dibubuhkan selepas perkataan dibunuh.
2. (a) Orang itu dibunuh; jangan dibebaskan. atau
2. (b) Orang itu dibunuh! Jangan dibebaskan.
Ayat 3 menunjukkan satu penyataan saya beri kepada seseorang, bagi menerangkan perbuatan saya, iaitu saya sedang makan nasi; dan nasi yang saya makan itu ialah nasi ayam. Tidak ada sebarang tanda baca atau tekanan dalam ayat tersebut. Ayat ini diucapkan secara bersahaja menurut lagu bahasa ayat penyata bahasa Melayu menurut tingkat nada 2-4-2-3 sebagai lambang turun naik nada suara. Kedudukan tingkat nada ini ditunjukkan seperti yang berikut:
2 4 2 3 Saya ma kan nasi a yam.
Jika tingkat nada terhenti sebentar selepas kata nasi: Saya makan nasi, ayam!, maka maksudnya berlainan daripada maksud yang pertama.
Kali ini saya memberitahu ayam (bukan lagi manusia yang bertanya) yang saya makan nasi. Perhatikan betapa luas jurang perbezaan makna oleh ketaksaan unsur ayat tersebut.Ketaksaan ayat ketiga hampir sama dengan ayat yang kedua, iaitu seseorang meminta ia diberikan rantai beruk (rantai untuk mengikat beruk) untuk maksud yang pertama; dan maksud yang kedua pula menyatakan bahawa ia (seseorang) memberukkan orang yang diminta menyerahkan rantai kepadanya.
Ayat 4 juga membawa maksud yang berbeza. Ayat ini menyatakan bahawa saya makan roti John di bawah pokok. Roti John ialah nama sejenis roti yang sangat digemari oleh anak muda kini. Sebaliknya, Jika dalam ucapan berlaku hentian selepas perkataan roti, kemudian disambungkan ujaran dengan ayat John di bawah pokok, maka ayat 4 ini menghasilkan dua ayat yang berbeza ceritanya. Cerita pertama mengisahkan saya makan roti, dan roti itu ialah roti John; dan kisah yang kedua pula menyatakan John berada di bawah pokok.
Demikian wajah ayat yang mengandungi unsur ketaksaan, kerana satu pola ayat tidak semestinya mempunyai satu makna. Satu pola ayat yang sama dapat diertikan dengan lebih daripada satu pengertian. Jadi, untuk dapat mengenali perbezaan erti ini kita perlulah menyedari kewujudan dua erti yang terkandung dalam satu ayat yang sama itu. Hanya intuisi berbahasa kita yang dapat menentukannya.
Sumber : Akhbar Tutor (Utusan Malaysia)
TATABAHASA - betulkan bahasa anda
Salam hormat,
1. Sering saya ditanya oleh kalangan pelajar dan guru tentang terjemahan dalam bahasa Melayu bagi frasa "that is because".
2. Pertama sekali, yang perlu kita sedari ialah penggunaan "ini kerana" merupakan terjemahannya yang sering digunakan, oleh hampir kebanyakan masyarakat dan media.
3. Saya ingin menyatakan bahawa frasa "ini kerana" tidak tepat, dan kesilapan ini telah lama dibetulkan. Saya percaya banyak guru dan pelajar telah mengetahui hal ini.
4. Maka, oleh sebab itu, bentuk yang baharu digunakan untuk menggantikan frasa "ini kerana", iaitu "hal ini demikian kerana".
5. Namun begitu, persoalannya, adakah bentuk "hal ini demikian kerana" itu betul?
6. Mari kita kaji hal ini secara ringkas.
7. Ayat mestilah terdiri daripada subjek dan predikat. Subjek terdiri daripada frasa nama manakala predikat boleh terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.
8. Bagi bentuk "hal ini demikian kerana", yang manakah yang menjadi subjeknya?
9. Ya, subjeknya ialah "hal ini". Bagaimanakah pula dengan predikatnya?
10. Adakah predikatnya, "demikian kerana"?
11. Jikalau bukan, adakah "demikian"?
12. Banyak orang beranggapan bahawa "demikian" ialah predikatnya, dan "kerana" merupakan keterangan predikat.
13. Ya, itulah pegangan kebanyakan orang. Tetapi, jikalau kita menyatakan bahawa "demikian" itu menjadi predekikatnya, apakah golongan katanya.
14. Saya telah menyatakan bahawa predikat hanya terdiri daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama.
15. Jelas sekali, perkataan "demikian" tidak tergolong dalam mana-mana golongan kata yang boleh dijadikan konstituen predikat. Perkataan "demikian" merupakan golongan kata adverba. Untuk makluman, golongan kata adverba merupakan jenis kata baharu yang disenaraikan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008).
16. Dan, kata adverba tidak boleh dijadikan konstituen predikat kerana kata adverba merupakan kata tugas.
17. Oleh sebab itu, bentuk "hal ini demikian kerana" tidak tepat kerana bentuk tersebut tidak mempunyai predikat.
18. Untuk membetulkannya, kita perlu memasukkan unsur predikat agar bentuk yang terbina betul.
19. Unsur predikat yang dicadangkan adalah seperti "berlaku" dan "terjadi". Bentuk yang terbina akan menjadi "hal ini berlaku demikian kerana" ataupun "hal ini terjadi demikian kerana".
20. Subjeknya ialah "hal ini"; predikatnya "berlaku/terjadi"; dan "demikian" merupakan adverba atau keterangan bagi kata kerja "berlaku/terjadi". Perkataan "kerana" tetap menjadi keterangan predikat.
21. Oleh sebab itu, elakkanlah penggunaan bentuk "ini kerana" atau "hal ini demikian kerana" agar mutu tatabahasa kita terpelihara dan kesilapan dapat dielakkan. Mulai sekarang, gunakanlah bentuk "hal ini berlaku demikian kerana..."
Sumber: cgu azhar.blogspot.com
KERTAS 1 - PERKATAAN BOMBASTIK
Akhir-akhir ini, banyak pelajar yang mempunyai kecenderungan untuk menggunakan perkataan yang bombastik dalam penulisan karangan. Tahukah anda maksud perkataan bombastik?
Perkataan bombastik bermaksud banyak menggunakan kata yang indah-indah dan luar biasa kelihatannya tanpa membawa pengertian yang bernas atau jelas.
Dalam hal ini, Arena Wati, Sasterawan Negara, sering menggunakan bahasa yang sederhana dan mudah difahami dalam karyanya. Pemilihan kata-katanya dibuat begitu teliti dan tidak bersifat bombastik.Dalam penulisan karangan pada peringkat PMR dan SPM, calon digalakkan supaya menulis karangan yang mudah difahami dengan menggunakan bahasa yang indah dan menarik.
Penggunaan bahasa yang sukar difahami atau bersifat bombastik akan menyusahkan pembaca atau pemeriksa. Oleh hal yang demikian, pelajar dinasihati supaya tidak bersusah payah untuk mencari atau menghafal perkataan atau frasa yang bombastik untuk dimasukkan dalam karangan. Perkara yang penting ialah pelajar dapat menulis karangan dengan memasukkan perkataan atau frasa yang biasa digunakan tetapi mempamerkan keindahan.
Ayat seperti ”Malam mula merangkak tiba” merupakan satu contoh ayat atau ungkapan yang menarik. Semua perkataan dalam ayat tersebut difahami oleh kebanyakan pengguna bahasa. Dari segi gaya bahasa, ayat tersebut menggunakan gaya bahasa personifikasi. Dari segi jenis karangan pula, ayat tersebut sesuai digunakan untuk karangan jenis cerita.
Cuba baca ayat yang di bawah ini pula:"Dalam hal ini, beliau memfasiqkan bahawa keputusan itu terpaksa dibuat oleh kerajaan walakin mendapat tentangan daripada pihak pembangkang."
Persoalannya ialah mengapakah calon perlu menggunakan perkataan memfasiqkan dan walakin? Perkataan memfasiqkan dan walakin jarang-jarang digunakan oleh pengguna bahasa. Perkataan mengatakan atau menyatakan lebih tepat dan sesuai digunakan dalam ayat tersebut. Perkataan yang sepatutnya digunakan untuk maksud walakin pula ialah meskipun, walaupun atau sungguhpun.
Kesimpulannya, calon tidak perlu bersusah payah untuk mencari perkataan yang pelik-pelik atau jarang-jarang digunakan oleh masyarakat untuk dimasukkan dalam penulisan karangan. Karangan yang baik bukanlah dinilai dari segi penggunaan kata yang bombastik, tetapi penilaian dibuat secara keseluruhan termasuk penggunaan kata, frasa, pengolahan ayat, penggunaan ungkapan yang menarik, dan sebagainya.
Sumber : agy7500.blogspot.com
Sabtu, 14 Mac 2009
KERTAS 1 - PENANDA WACANA
PENANDA WACANA : MEMULAKAN KARANGAN
· Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu …
· Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….
·Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.
·Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronak yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.
· Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …
· Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …
PENANDA WACANA :
UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN
· Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
· Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
· Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.· Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….
· Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.
PENANDA WACANA :
UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN
· Kita dapat menyaksikan betapa…
· Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…
· Lazimnya, dalam keadaan …
· Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …
· Pada hemat saya …
· Pada pandangan saya …
· Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …
· Sebagaimana yang kita ketahui
· Sebagaimana yang kita maklumi
· Sejak awal lagi
· Sejak kebelakangan ini
· Selain itu, pada masa ini juga
· Seperti yang telah dinyatakan
· Umum mengetahui bahawa
· Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas
PENANDA WACANA :
UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN
· Bagi sesetengah orang …
· Begitu juga dengan …
· Begitu juga halnya dengan …
· Bertitik tolak daripada itu …
· Bukan itu sahaja …
· Dalam hal ini …
· Dalam konteks ini ..
· Dalam zaman yang serba canggih ini …
· Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …
· Dengan adanya …
· Dengan berbuat demikian …
· Dengan perkataan lain ..
· Disebabkan hal itu
· Disebabkan keistimewaan inilah kita ..
· Hal ini berlaku disebabkan...
· Hal ini penting dalam...
· Hal ini serupa dengan...
· Hal yang serupa berlaku apabila...
· Ini disebabkan· Ini membuktikan bahawa ...
· Ini menggambarkan bahawa...
· Ini secara tidak langsung akan...
· Ini semua meninggalkan kesan kerana...
· Ini tentu sekali membuatkan...
· Jadi kita perlu...
· Jadi kita hendaklah...
· Keadaan ini tentunya...
· Lantaran itu sehingga kini...
· Kesemua ini menyumbang kepada...
· Kita mengakui hakikat bahawa...
· Kita sering menonton di kaca televisyen...
· Kita sering membaca di dada-dada akhbar...
· Memandangkan keadaan yang sedemikian...
· Namun sejak kebelakangan ini...
· Oleh itu, bolehlah dikatakan...
· Secara logiknya masa yang...
· Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita...
· Keadaan ini seharusnya boleh...
· Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini...
· Kendatipun demikian, kita masih...
· Yang paling nyata ialah...
· Yang perlu kita pastikan ialah...
PENANDA WACANA :
UNTUK MENYATAKAN STATISTIK
· Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak..
· Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan...
· Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian … pada tahun ... menunjukkan bahawa sebanyak ...
PENANDA WACANA:
UNTUK MENYATAKAN CONTOH
· Sebagai contohnya
· Biar kita lihat
· Biar kita ambil contoh
· Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah
· Sebagai analoginya,
· Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah
PENANDA WACANA :
UNTUK KESIMPULAN KARANGAN
· Intihanya,
· Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas
· Konklusinya,
· Dengan ini diharapkan
· Bukan itu sahaja
· Mudah-mudahan perkara ini
· Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa
· Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perkara ini akan …
· Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama
KATA-KATA HIKMAT DIGUNAKAN DALAM KARANGAN
01. baik kaya ialah kaya hati,sebaik-baik bekal ialah takwa,seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta.
02. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).
03. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. ~Horne
04. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.
05. Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata, maju kita, Melemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang
06. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." ~Surah al-Hajj:77
07. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan" ~Surah Yusuf:18
08. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.
09. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. ~Davey John Schwartz
10. "Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya mengenai bagaimana guru besar perlu bersikap profesional dan tidak menggunakan emosi dalam melakukan tindakan." ~Tengku Habsah Tengku Petera (Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)
11. "Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki." ~Profesor Diraja Ungku Aziz
12. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
13. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.
14. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.
15. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.
16. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. ~ Saidina Ali Abu Talib
17. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."
18. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.
19. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (surah Al-Baqarah:214)
20. Kekitaan yang erat tiada yang berat.
21. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.
22. Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu; dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya. - SAIDINA ABU BAKAR
23. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.
24. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.
25. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.
Sumber:Cikgu Zulkarnain (SMK Sacred Heart Sibu)
KERTAS 1 - KARANGAN 2009
Peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 SPM telah pun berlalu. Ramai guru dan pelajar telah pun mengetahui dan menganalisis topik-topik yang ditanya dalam kertas penulisian karangan tersebut. Berdasarkan topik-topik penulisan karangan yang ditanya pada tahun 2008 ini, pelajar sudah boleh memberikan perhatian untuk topik-topik penulisan karangan untuk tahun 2009. Pada hemat saya, antara topik-topik penulisan karangan yang perlu diberikan perhatian untuk tahun 2009 seperti:
a. keracunan makanan.
b. kemalangan bas ekspress.
c. pembangunan koridor ekonomi.
d. kenaikan harga barangan pengguna.
e. pemakaian batik dalam kalangan kaki tangan awam.
f. lanjutan usia bersara.
g. pemasangan litar tertutup.
h. latihan penggunaan senjata api di PLKN.
i. penggunaan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang kereta.
j. usaha memperkasa bidang pertanian.
Topik-topik yang yang dikemukakan ini adalah topik-topik yang berkisar pada tahun 2007 dan 2008. Bagaimanapun, perkara yang penting, pelajar mesti menguasai ilmu mengarang dan banyak membaca artikel-artikel yang baik kerana dengan ilmu mengarang dan pembacaan membolehkan pelajar menulis apa-apa sahaja topik untuk penulisan karangan.
Rujukan: Cgu Abdul Ghalib Yunus (agy7500.blogspot.com)